KOTA KINABALU: Sebanyak lapan Bazar Ramadan dibuka di sekitar bandar raya ini sempena bulan Ramadan yang bakal membuka tirainya mulai esok.
Lapan Bazar Ramadan itu ialah di Lintasan Deasoka, Sembulan, Indah Permai, Tanjung Aru, Pasar Malam Inanam, Kingfisher, Pasar Malam Inanam Point, dan Damai.
Kesemua Bazar Ramadan berkenaan akan beroperasi pada setiap hari bermula jam 2 petang hingga jam 7 malam sehingga 21 April depan.
Sehubungan itu juga, beberapa laluan akan ditutup sementara bermula jam 1 petang hingga jam 7 malam pada setiap hari, sepanjang tempoh Bazar Ramadan beroperasi.
“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik, DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) menasihatkan pengguna jalan raya, para pengusaha kedai berhampiran lokasi bazar, para peniaga dan pengunjung supaya mematuhi arahan anggota penguatkuasa yang bertugas.
“Orang ramai atau pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif dan tempat letak kereta lain yang berhampiran sepanjang tempoh penutupan sementara jalan dan tapak parkir ini,” katanya Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip. – Info X