TAMPARULI: Anggota bomba membantu membersihkan tumpahan minyak diesel akibat daripada kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.
Kemalangan di Jalan Tamparuli – Ranau itu membabitkan lori Isuzu milik PDRM, Isuzu D-Max dan Perodua Bezza.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.31 tengah hari mengenai kejadian tumpahan minyak diesel di atas jalan akibat daripada kemalangan tiga kenderaan.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan raya menggunakan satu aliran hos reel dari jentera bomba.
“Selepas memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – Info X