Oleh Junaidi Ladjana
KOTA KINABALU: Sebuah pesawat airbus A320 milik Cebu Pacific Air melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas dipercayai mengalami masalah enjin, malam ini.
Pesawat membawa 92 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Cebu, Filipina 7.55 malam dan dipercayai mengalami masalah enjin bahagian kiri pesawat ketika penerbangan.
Berikutan itu, juruterbang kapal kemudian membuat pendaratan di KKIA dengan selamat jam 10.22 malam.

Difahamkan pesawat berkenaan dijadualkan mendarat di Singapura tengah malam ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KKIA pada jam 9.49 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Keadaan terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dan anak kapal selamat.
“Siap siaga di lapangan terbang ditamatkan pada jam 10.29 malam,” katanya. – Info X