TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan seorang juragan menyeludupan masuk pelbagai barangan runcit tidak bercukai dipercayai dari negara jiran di perairan Batu Tiga, di sini, semalam.
Juragan berusia 17 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota PPM Wilayah Empat Tawau yang menjalankan pemantauan menerusi ‘Ops Gelora, jam 7.30 malam.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot suspek jenis jongkong menemui 2,800 bungkus kacang telur, 558 botol sos cili, 3,375 bungkus gula merah dan 624 botol kicap manis.

Barang-barang berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Indonesia untuk pasaran tempatan tanpa pengisytiharan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Nilai rampasan bot dan barangan dianggarkan berjumlah RM128,500.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada JKDM cawangan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X