Search

Anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik

March 23, 2023

admin

KINARUT: Seorang anggota bomba cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Sabok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mohd Qayyum Hamzah, 26, dikejarkan ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Sabok, Kinarut. – Foto Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.08 tengah hari.

Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar 90 peratus dan operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan satu aliran dua pancutan air dari jentera.

“Terdapat seorang anggota bomba bantuan cedera terkena renjatan elektrik ketika menjalankan operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan.

“Operasi terkawal pada 12.37 tengah hari dan operasi tamat sepenuhnya jam 2.20 petang,” katanya. – Info X