KOTA KINABALU: Datuk Bung Moktar Radin menyifatkan pelantikan semula beliau sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu tidak akan membenihkan kejayaan kepada parti itu khususnya di Sabah sekiranya tanpa kerjasama serta sokongan dari pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat, di negeri ini.
“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu memimpin parti bersama-sama presiden, timbalan presiden dan ahli-ahli majlis tertinggi.
“Insyallah, kepercayaan serta amanah yang diberikan ini akan digalas sepenuhnya dengan memberikan keutamaan bagi memperkukuhkan perpaduan dalam parti khususnya di Sabah untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka kurang dua tahun dari sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pelantikan Bung sebagai pengerusi perhubungan Umno Sabah diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mesyuarat ahli MKT Umno yang pertama selepas pemilihan parti itu, baru-baru ini, di bangunan Umno, di ibu negara, semalam.
Bung yang juga ketua Umno Kinabatangan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Zahid dan kepimpinan Umno pusat atas kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab berkenaan, disamping melantik beberapa pemimpin Umno Sabah membarisi barisan ahli MKT untuk sesi 2023-2026.

Sementara itu, Bung menyeru agar semua ahli Umno bersatu sebagai sebuah keluarga besar serta saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.
Katanya, selepas pemilihan parti baru-baru ini, mungkin ada yang berasa kecewa kerana tewas dalam pertandingan, namun sudah tiba masanya untuk semua bertaut kembali sebagai keluarga besar yang saling bahu-membahu demi mengembalikan Umno ke persada kepercayaan rakyat.
“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling memaafkan, era baharu dalam Umno mesti kita mulakan dengan semangat baharu.
“Prinsip serta perjuangan parti jangan kita abaikan jika kita mahu dilihat sebagai sebuah parti yang berwibawa,” katanya lagi. – Info X