TAMBUNAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hilang di Kampung Kituntul, di sini, Jumaat lalu ditemui selamat, hari ini.
Jackson Joseph, 39, ditemui pasukan bomba dan agensi keselamatan lain kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, jam 12.31 tengah hari.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa disedari hilang jam 9 pagi pada 24 Mac lalu di kawasan kebun berhampiran rumah mangsa.

Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.40 pagi tadi, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Selepas beberapa jam pencarian dilakukan, mangsa berjaya ditemui di kawasan semak kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Tindakan pasukan bomba membawa mangsa seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada 1 tengah hari.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). – Info X