PUTATAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anaknya berusia lima tahun yang terjatuh bersama kenderaan milik mereka di Sungai Kampung Imbahan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Lasibi Lawahidu, 40-an, dikatakan terjun ke dalam sungai terbabit selepas kereta jenis Perodua Myvi yang ketika itu dinaiki anaknya Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika ditemui di lokasi berkata, difahamkan sebelum kejadian, mangsa berada di tebing dan sedang memancing manakala anaknya berada di dalam kenderaan yang diletakkan berhampiran dengan keadaan enjin dihidupkan.
Bagaimanapun, katanya, kenderaan terbabit tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai dan mangsa kemudian bertindak terjun untuk menyelamatkan anaknya.
“Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.
“Bagaimanapun, ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.53 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.
“Setakat ini (jam 11 malam), mangsa masih belum ditemui dan operasi masih dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya lagi, anak mangsa yang diselamatkan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut. – Info X