Search

Pekerja binaan parah jatuh bumbung di Gunung Kinabalu

March 27, 2023

admin

RANAU: Seorang pekerja binaan parah selepas terjatuh dari bumbung bangunan yang sedang dalam pembinaan di tapak pembinaan di Kilometer 4, Gunung Kinabalu, di sini, semalam.

Mangsa lelaki berusia 23 tahun disyaki patah tulang punggung selepas terjatuh dalam keadaan terduduk dari ketinggian 12 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.11 petang.

Katanya, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) bersama Malim Gunung dan Taman-Taman Sabah (TTS) digerakkan ke lokasi kejadian di tapak pembinaan Kilometer 4, Gunung Kinabalu.

“Sebaik tiba, rawatan awal diberikan oleh pasukan MOSAR bersama Malim Gunung dan TTS dengan memindahkan mangsa dari lokasi dia terjatuh.

“Tindakan memasang cervial coller dan papan lapis di belakang punggung mangsa sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robertson Strecher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate oleh MOSAR bersama Malim Gunung dan TTS untuk dihantar ke hospital.

Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 5.45 petang,” katanya. – Info X