Search

2 penjawat awam antara ditahan edar dadah di Tawau

March 27, 2023

admin

TAWAU: Dua penjawat awam antara tujuh ditahan terbabit sindiket pengedaran dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram dalam dua serbuan berasingan di sini, baru-baru ini.

Semua suspek berusia 30 hingga 59 tahun ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan pertama dilakulan pada 20 Mac lalu di kawasan perumahan di daerah ini.

Katanya, hasil serbu itu menahan lima lelaki tempatan di dalam sebuah kenderaan di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan menemui dua bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi 103.40 gram dadah jenis syabu.

“Siasatan mendapati semua suspek pernah melakukan jenayah berkaitan dadah termasuk seorang daripadanya mempunyai lapan kes jenayah,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Menurutnya, tangkapan kedua pula membabitkan dua penjawat awam berusia 34 dan 36 tahun di kawasan bandar daerah pada 21 Mac lalu.

Katanya, suspek yang berada di dalam kereta cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan, namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, menemui lima bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syanu seberat 1,177.50 gram.

“Turut dirampas dalam serbuan berkenaan sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM1,292,” katanya.

Jasmin berkata, ujian saringan air kencing semua suspek mendapati lima daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, manakala dua penjawat awam terbabit pula didapati negatif.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, kedua-dua kes tangkapan ini mempunyai kaitan dari segi sumber jaringan yang sama.

“Semua dadah yang bernilai RM130,000 itu dirampas dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala semua suspek terbabit ditahan reman selama 14 hari sehingga 3 April depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati,” katanya. – Info X