Search

KPDN tumpas kegiatan seleweng 44,000 liter diesel di Labuan

March 27, 2023

admin

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi sebanyak 44,000 liter dalam Ops Tiris di sebuah stor tidak bernombor di luar bandar wilayah berkenaan, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, minyak diesel itu ditemui pasukan serbuan di dalam dua kenderaan yang mempunyai tangki penyimpanan yang diubah suai dan dua buah kontena.

KPDN Labuan menyerbu stor yang menjalankan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel di Labuan. – Foto KPDN

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, risikan dijalankan oleh KPDN Labuan sebelum serbuan dilakukan.

“Pasukan serbuan menemui dan menyita kira-kira 44,000 liter diesel dalam dua kenderaan yang mempunyai tangki penyimpanan yang diubah suai, dua buah kontena berisi diesel beserta alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng.

“Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM94,600,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai pemilik di lokasi serbuan.

Junaidah menunjukkan dua kontena berisi diesel yang disyaki diselewengkan di Labuan. – Foto Labuan

“Suspek ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Berdasarkan keterangan awal, pemilik stor di lokasi berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

Kenderaan yang mempunyai tangki penyimpanan yang diubah suai untuk menyeleweng minyak diesel. – Foto KPDN

Katanya lagi, siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana mengalihkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan.

Sementara itu, Junaidah berkata KPDN Labuan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan dan wilayah ini supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

Junaidah memeriksa kenderaan yang diubah suai untuk menyeleweng barang kawalan minyak diesel di Labuan. – Foto KPDN

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang
aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui aplikasi Whatsapp ditalian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

“Ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel ([email protected]) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800,” katanya. – Info X