KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi keutamaan untuk menyelenggara infrastrukrur sukan yang daif terlebih dahulu sebelum beralih kepada agenda membina infrastruktur sukan yang baharu.
Timbalan Menterinya, Adam Adli berkata, KBS ada menerima permohonan bagi membina infrastruktrur sukan yang baharu namun ianya perlu mengambil sedikit masa sebelum diluluskan kerana ia membabitkan perincian kewangan yang tinggi.
“Kita tidak mahu ada fasiliti yang rosak tidak dipulihkan, nanti dia jadi kawasan yang terbiar dan membahayakan.
“Pembinaan infrastruktur sukan yang baharu juga perlu mengambil kira keperluan setempat dan mengambil masa yang sedikit panjang sebab perlu perincian kewangan yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Adam berkata, KBS juga memberi komitmen terhadap pembangunan sukan di Sabah dan Sarawak melalui sesi lawatan kerja secara kerap bagi memastikan setiap perancangan kementerian itu memberi impak hingga ke setiap pelusuk negara.
“Kita kekal dengan komitmen, kalau lihat di peringkat KBS sekalipun, saya kira YB (Yang Berhormat) Hannah Yeoh sebagai menteri turun ke Sabah dan Sarawak itu setiap bulan, jadi itu komitmen kami.
“Kita mahu pastikan apa sahaja dasar usaha gerak kerja tu sampai ke setiap pelusuk negara dan jadi dia tidak tertumpu hanya di bandar-bandar besar, tidak tertumpu hanya di negeri-negeri tertentu,” katanya. – Info X