SEMPORNA: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas bot dinaikinya karam akibat dipukul ombak dalam kejadian berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) atas air Semporna, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa lelaki berjaya diselamatkan anggota bomba BBP atas air Semporna.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bot karam jam 2.11 petang.

Katanya, sepasukan bomba BBP atas air Semporna dengan menggunakan bot digerakkan ke lokasi kejadian dengan jarak satu kilometer.
“Setiba di lokasi, sebuah bot karam dipukul ombak dan terdapat satu mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa kemudian dibawa naik ke atas kevlar KCB-11 bomba dan seterusnya bot mangsa ditario ke pesisir pantai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat.
“Operasi ditamatkan pada jam 2.38 petang,” katanya. – Info X