Search

Peniaga bazar Ramadan ditegur tidak pakai apron

March 28, 2023

admin

KOTA KINABALU: “Ada apron tapi tidak pakai. Pakailah, baru lawa,” itu teguran Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin kepada salah seorang peniaga di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, hari ini.

Sepanjang operasi Ops Ramadan yang bermula kira-kira jam 4.30 petang, selain tidak memakai apron, peniaga turut ditegur cara meletakkan sudu di atas makanan.

Dr Rose Nani menegur peniaga yang tidak memakai apron ketika Ops Ramadan di bazar Ramadan Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. – Foto/InfoX

Dr Rose Nani berkata, Ops Ramadan 2023 dilancarkan di seluruh negeri oleh JKNS bermula pada 27 Mac lalu.

Katanya, operasi dijalankan penguatkuasa JKNS itu bertujuan bagi memastikan peniaga mematuhi tatacara pengendalian makanan dan kebersihan premis perniagaan.

Dr Rose Nani melakukan pemeriksaan gerai-gerai jualan di bazar Ramadan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. – Foto/InfoX

“JKNS mengerahkan seramai 725 penguatkuasa kesihatan untuk memantau tahap kebersihan penyediaan makanan di bazar ramadan seluruh negeri.

“Hasil Ops Ramadan 2023 yang dijalankan di lima daerah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Tawau, Kudat dan Sandakan berjaya memeriksa sejumlah 277 premis dan mengambil empat sampel makanan.

“Hasilnya mengeluarkan 21 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983. Antara kesalahan seperti tidak memakai apron, berkuku panjang, tiada sijil kursus pengendali makanan, tiada suntikan vaksin tifoid, dan lain-lain boleh dikenakan kompaun,” katanya ketika ditemui media selepas menjalankan Ops Ramadan 2023 berkenaan.

Dr Rose Nani ketika ditemui media selepas menjalankan Ops Ramadan 2023 di bazar Ramadan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. – Foto/InfoX

Dalam pada itu, Dr Rose berkata, JKNS juga turut memperkenalkan penggunaan QR code di bazar ramadam untuk pengunjung bazar menyalurkan aduan kebersihan pengendalian makanan melalui medium ini.

“Selain daripada itu, aduan juga boleh ditujukan melalui aduan WhatsApp Sabah Healthline di talian 019-8602929 dan laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Rose Nani memperkenalkan penggunaan QR code di bazar Ramadan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. – Foto/InfoX

“Orang awam diminta supaya bijak memilih makanan yang sihat dan premis makanan yang bersih,” katanya. – Info X