Search

Suami isteri melecur, dapur gas meletup ketika persediaan sahur

March 28, 2023

admin

TAWAU: Suami isteri melecur selepas dapur gas di rumah mereka di tingkat 4, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, di sini, meletup ketika hendak memasak untuk persiapan bersahur, awal pagi tadi.

Hernawati Juda, 40, melecur di bahagian badan, tangan dan muka manakala suaminya Mesran Lamalee, 38 melecur di kaki.

Pasangan berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Tawau.

Keadaan rumah mangsa yang rosak teruk akibat terbakar, awal pagi tadi. – Foto Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu pada jam 3.36 pagi sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau ke lokasi bersama 14 anggota dan pegawai.

Katanya, kebakaran membabitkan dapur gas memasak dan berlaku letupan hingga menyebabkan rumah berkenaan musnah.

“Kebakaran dipadam oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum jentera tiba.

“Terdapat dua mangsa melecur dan dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.

“Operasi terkawal pada 4.10 pagi dan ditamatkan lima minit kemudian,” katanya. – Info X