Search

Polis Sandakan siasat jika anggotanya terlibat salah laku

March 29, 2023

admin

SANDAKAN: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika ada sebarang salah laku anggotanya berhubung video tular yang memaparkan seorang anggota polis seperti menerima sesuatu daripada seorang individu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima maklumat berkenaan klip video itu.

Katanya, siasatan oleh Bahagian Integriti Dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan sedang dijalankan.

“Sekiranya ada bukti, pihak polis tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas kepada anggota terlibat dan juga pihak pemberi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan dimohon untuk berhubung dengan Ketua Bahagian Integriti Dan Pematuhan Standard IPD Sandakan, Asisten Superintendan Noor Zaid Zainuddin di talian 013-3811239.

Dalam video berdurasi 15 saat itu memaparkan seorang anggota polis seakan-akan menerima sesuatu daripada seorang lelaki orang awam. – Info X