Search

Rakyat Sabah tidak pernah iktiraf tuntutan waris Sulu – Hajiji

March 30, 2023

admin

PUTATAN: Rakyat Sabah tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan oleh pihak yang mengaku waris Kesulatanan Sulu ke atas negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, rakyat Sabah sendiri telah sekian lama memilih untuk bersama membentuk sebuah Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Justeru, katanya, sebarang tuntutan pihak luar terhadap Negeri di Bawah Bayu ini tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyatnya.

Beliau berkata, Sabah yakin kerajaan persekutuan akan mengambil tindakan serius dan langkah yang konkrit bagi menyelesaikan apa sahaja isu tuntutan ke atas Sabah termasuk tuntutan yang dibuat oleh kumpulan terbabit.

“Memang kita yakin (dengan kerajaan persekutuan) kerana kita sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan (kumpulan mendakwa waris) Sultan Sulu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui kepada selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ibu tunggal dan penduduk kurang bernasib baik, di sini, semalam.

Kumpulan yang mendakwa waris Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Terdahulu, dalam majlis semalam yang diadakan di Masjid Jamek Putatan itu menyaksikan kira-kira seramai 400 penduduk menerima sumbangan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 3, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Awang Ahmad Sah Sahari. – Info X