KOTA KINABALU: Sabah FC kemungkinan bakal kehilangan empat tonggak utamanya apabila mereka berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super, Jumaat ini.
Empat pemain berkenaan ialah Telmo Castanheira, Saddil Ramdani, Jailton Da Silva dan Gary Steven Robbat
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, dia kini masih menunggu laporan perubatan sama ada empat pemain yang cedera itu mampu diturunkan pada aksi menentang pendahulu liga berkenaan.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu lega kerana lima pemainnya yang sebelum ini dipanggil untuk pasukan kebangsaan telah kembali bersama pasukan
Katanya, sudah pasti kehadiran lima tonggaknya itu akan memberi ruang terbaik untuk memantapkan lagi pasukan menjelang perlawanan nanti.
“Saya masih mempunyai masa dua hari lagi sebelum melihat tahap kecergasan mereka sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya.
“Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan…Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka merupakan pemain yang sangat penting,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, walaupun tidak dinafikan JDT merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai liga musim ini, namun Sabah FC tetap akan cuba memberi saingan sengit kepada pasukan itu.
“Saya percaya menentang JDT merupakan satu perlawanan yang sangat menarik namun saya berharap agar Sabah FC dapat mengekalkan momentum mereka menjelang pertemuan jumaat nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Info X
Gambar – Sabah FC