KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas, baru-baru ini, mengulangi komitmen mereka untuk meningkatkan nilai pemberian kontrak kepada kontraktor tempatan tanpa menjejaskan keselamatan, keperluan teknikal, kos, jadual dan kualiti serta bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam industri minyak dan gas.
Usaha berkenaan adalah selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyertaannya dalam industri minyak dan gas serta rantaiannya bersama Petronas di menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA).
Sehubungan itu, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) telah ditubuhkan sebagai syarikat minyak dan gas Sabah untuk menyelia, memberi arahan serta menyelaraskan penyertaan negeri ini dalam keseluruhan rantaian nilai aktiviti minyak dan gas di Sabah.
Beberapa ketetapan juga telah dipersetujui antara Kerajaan Negeri dan Petronas sebagai sebahagian daripada proses untuk menambah baik dan meningkatkan peluang kepada syarikat dari Sabah untuk mendapatkan anugerah kontrak.
Antara ketetapan yang dipersetujui termasuk keutamaan diberikan kepada syarikat dari Sabah dalam tender yang dibuka selain Standardised Work and Equipment Categories (SWEC) yang terpilih akan diutamakan kepada syarikat dari Sabah tanpa mengira nilai tender.
Dua ketetapan berkenaan akan digunakan untuk semua tender baharu berkaitan perkhidmatan minyak dan gas di Sabah tanpa menjejaskan keselamatan, keperluan teknikal, kos, jadual dan kualiti.
Sehubungan itu, SMJSB menggalakkan semua syarikat Sabah yang terlibat dalam industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berlesen atau berdaftar dengan Petronas untuk mengambil bahagian secara aktif dalam semua tender akan datang, seperti yang dijemput oleh OPU dan PAC Petronas yang beroperasi di Sabah.
SMJSB juga menggalakkan syarikat OGSE Sabah untuk mendaftarkan dengan Majlis Perkhidmatan Gas dan Minyak Sabah (SOGSC) menerusu [email protected].
Sebarang pertanyaan mengenai perkara di atas bolehlah menghubung pasukan perkhidmatan minyak dan gas menerusi emel di alamat [email protected] – Info X