KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses bagi mengisi jawatan ditinggalkan pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang sebelum ini dituduh di mahkamah masih sedang berjalan.
Katanya, beberapa jawatan yang kosong berkenaan telahpun diisi dan pihaknya juga sedang mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai bagi mengisi beberapa lagi jawatan.
“Sekarang ini, kita sudah sedia maklum ada beberapa pegawai dan anggota yang didakwa di mahkamah dan ini akan menyebabkan beberapa kekosongan di jawatan berkenaan.
“Tindakan telahpun kita ambil sekarang untuk membuat pengisian jawatan yang ditinggalkan itu bagi memastikan perjalanan operasi ESSCOM tidak akan terjejas pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis serah terima tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, kini proses untuk dikenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai bagi ditempatkan di jawatan-jawatan yang ditinggalkan kosong berkenaan.
“Sudah dalam perancangan kita dan ada yang telah diisi dan ada yang dalam proses untuk dikenalpasti pegawai dan anggota yang sesuai,” katanya.
Dalam kejadian 13 Januari lalu, seorang pemandu e-hailing ditemui mati di sebuah ladang sawit, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Batu 5, Tawau.
Susulan penemuan itu, polis mendedahkan penahanan beberapa individu termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan. – Info X