TAWAU: Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tawau Lama, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.26 malam.
“Sepasukan anggota bersama jentera kemudian bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tawau.
“Kebakaran membabitkan tiga buah rumah yang musnah habis.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 600 kaki empat pancutan dengan sumber air dari pili bomba manakala PBS (Pasukan Bomba Sukarela) Titingan menggunakan satu aliran 400 kaki satu pancutan menggunakan sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu dan api berjaya dikawal pada jam 9.16 malam seterusnya operasi tamat pada jam 11.10 malam. – Info X