Search

Segera tangani masalah prasarana, infrastruktur sekolah di Tenom – Riduan

April 1, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menangani masalah pembangunan prasarana dan infrastruktur sekolah di kawasan Parlimen Tenom yang diwakilinya.

Katanya, prasarana dan infrastruktur sekolah yang baik penting bagi mewujudkan ekosistem pendidikan berkualiti kepada para pelajar selain membantu melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek.

Beliau berkata, antara masalah yang perlu diberi perhatian oleh KPM ialah berkaitan permohonan pembinaan sekolah baharu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Tomani, di sini.

Menurutnya, tapak sekolah seluas 30.62 hektar milik Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) itu telah dipersetujui dan sedang menunggu proses pengesahan tapak serta harga.

“Sekiranya harga tanah tersebut tidak memenuhi kriteria kementerian, saya akan minta Pejabat Daerah Kecil
Kemabong untuk mencari tapak lain yang sesuai, paling penting ianya jauh daripada ancaman banjir.

“Pembinaan SMK Kuala Tomani ini penting bagi menangani kesesakan di SMK Kemabong di samping para pelajar di kawasan berkenaan terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 15 hingga 30 kilometer untuk ke sekolah itu”, katanya semasa membahas Bajet 2023 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

Riduan turut meminta KPM membina dewan terbuka di sekolah-sekolah, di Tenom, yang belum mempunyai dewan serbaguna bagi tujuan aktiviti pelajar.

Selain itu, katanya, status permohonan lapan buah sekolah di Tenom yang terlibat dengan bencana banjir besar pada tahun lalu juga memerlukan perhatian segera oleh kerajaan.

“Antaranya ialah permohonan perpindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kalang Kanar ke tapak baharu atas sebab status risiko sering dilanda banjir kerana terletak berhampiran sungai.

“Kedua, permohonan gantian sekolah daif melibatkan Sekolah Kebangsaan Ladang Sapong dimana sekolah ini terlalu daif dan sering kali dilanda banjir sehingga lebih beberapa kali semusim,” katanya.

Beliau juga mencadangkan sekolah itu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat daripada banjir memandangkan bangunan sedia ada adalah bangunan kayu.

“Bangunan bilik guru yang kayu berketinggian lebih lima kaki pun sering dinaiki air dan banyak harta benda rosak termasuk komputer apabila sekolah itu dilanda banjir”, tambahnya.

Sementara itu, Riduan juga meminta agar permohonan penyelenggaran bangunan kayu Sekolah Kebangsaan (SK) Inubai yang mengalami banyak kerosakan akibat banjir, SK Gumisi yang tidak selamat kerana lokasinya dikelilingi sungai besar yang menyebabkan banjir besar.

Selain itu, katanya, permohonan perpindahan SK Melalap ke tapak baharu di Pekan Baharu Melalap kerana terpaksa berkongsi tapak dengan SJKC Vun Shin dan cadangan perpindahan SK Kemabong ke tapak baharu seluas tujuh ekar dipercepatkan.

Menurutnya, permohonan sumbangan bantuan bagi Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tenom untuk SJKC Pada, Tenom dan SJKC Yuk Nam Paal, Kemabong.

Beliau juga memohon agar pihak kementerian memberi perhatian kepada permohonan bina baharu rumah guru melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan dan SK Sumambu.

Katanya, SK Sumambu merupakan sekolah kategori 3 yang berada jauh di pedalaman, selain merupakan zon bukit di kawasan DUN Kemabong yang mana guru tidak dapat tinggal di kawasan tersebut dan terpaksa ulang alik setiap hari menggunakan motorsikal atau motorcross yang menyukarkan mereka untuk mengajar.

Menyentuh Program Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Sarawak, Riduan menggesa kementerian menyelesaikan isu bekalan air di SMK Chinta Mata dan SMK Kemabong yang agak menganggu sesi persekolahan kerana seringkali terputus bekalan air bersih.

“Saya memohon agar jambatan gantung sedia ada di SK Melalap, SK Pangi dan SK Sumambu yang digunakan sebagai laluan pelajar untuk ke sekolah digantikan dengan jambatan konkrit agar ianya lebih selamat, berkualiti dan tahan lasak untuk kegunaan seharian.

“Contohnya laluan utama ke SK Sumambu pada ketika ini perlu merentasi sungai menggunakan kereta, jika musim banjir guru-guru sukar melalui laluan tersebut, Begitu juga dengan Jalan ke SK Kolorok yang amat daif dan perlu dinaiktaraf.

“Walaupun projek jalan raya dan jambatan bukan dibawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan namun dengan sokongannya permohonan rakyat Tenom akan mendapat keutamaan kementerian berkaitan”, tegasnya. – Info X