Search

10 rumah musnah dalam kebakaran di Labuan

April 2, 2023

admin

LABUAN: Sebanyak 10 rumah di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.29 petang.

Katanya, seramai 23 anggota dan pegawai bersama empat jentera serta Unit ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral serta bantuan BBP Layangan dan Rancha-Rancha bergegas ke lokasi.

Keadaan rumah di SPMP Muslim yang musnah terbakar.

“Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal iaitu setinggan. Sebanyak 10 rumah terbakar 100 peratus dan terdapat dua rumah turut terjejas.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman kebakaran sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan 10 rumah yang terbakar di SPMP Muslim Labuan.

“Selepas selesai, operasi ditamatkan pada 4.49 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Udara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info x