Search

Bot habis minyak, nelayan tahan lapar, dahaga 2 hari

April 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang nelayan terpaksa menahan lapar dan dahaga selama dua hari selepas bot pancing yang dikemudinya kehabisan minyak di laut.

Mangsa Egimisak Besak, 63, bagaimanapun bernasib naik kerana ditemukan dalam keadaan selamat oleh warga Stesen Luar Pantai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Stesen Uniform TLDM di sekitar perairan stesen berkenaan, semalam.

Markas Pemerintahan Armada Timur dalam kenyataan hari ini berkata, hasil siasatan awal mendapati bot pancing yang dinaiki mangsa terpisah daripada bot induknya pada 30 Mac lalu.

Anggota Stesen Uniform yang bertugas memberi bantuan makanan kepada mangsa.

Katanya, dia yang berasal daripada Pulau Gaya, di sini, memaklumkan kapal induknya telah menurunkan enam bot pada Khamis lalu bagi tujuan memancing.

Namun katanya, bot pancing yang dikemudi mangsa telah terpisah jauh dan kehabisan minyak.

“Akibat kejadian itu menyebabkan mangsa hanya mampu berapung selama dua hari sebelum dihanyutkan ke stesen berkenaan.

“Mangsa yang dalam keadaan stabil telah diberikan kemudahan pakaian dan bantuan makanan,” katanya.

Bot pancing yang dinaiki mangsa.

Menurutnya, mangsa akan dihantar pulang ke Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Ketua Kampung Pulau Gaya turut dimaklumkan berkenaan maklumat ini bagi tujuan pengesahan dan tindakan selanjutnya. – Info X