TAWAU: Kegiatan curi dan meleraikan komponen motosikal di sekitar daerah ini terbongkar susulan penahanan lima lelaki di kawasan Batu 32, Jalan Tawau – Kunak, semalam.
Kelima-lima suspek berusia 18 hingga 25 tahun ditahan sepasukan polis diketuai oleh Ketua Balai Polis Balai Bandar Sri Indah, jam 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika melakukan rondaan cegah jenayah (RCJ) sepasukan polis menahan lima lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil siasatan kelima-lima lelaki terbabit dalam kes pecah masuk sebuah kedai runcit di Ladang Sri Kunak, Jumaat lalu.
“Siasatan lanjut mendapati mereka yang ditahan juga terbabit dalam aktiviti mencuri dan meleraikan komponen motosikal.
“Dengan dipandu arah oleh salah seorang suspek membawa kepada penemuan komponen dan sebuah motosikal di kawasan tempat pelupusan sampah Bukit Gemok,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan mendapati komponen dan motosikal jenis Yamaha LC itu dilaporkan hilang di Kampung Ranggu, di sini, pada 19 Mac lalu.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun yang sama,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya giat aktif menjalankan operasi yang berkonsepkan ‘Aggresive Policing’ dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan penjenayah malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit. – Info X