KOTA KINABALU: Seorang nelayan terpaksa menahan lapar dan dahaga selama dua hari selepas bot pancing yang dikemudinya kehabisan minyak di laut.
Mangsa Egimisak Besak, 63, bagaimanapun bernasib naik kerana ditemukan dalam keadaan selamat oleh warga Stesen Luar Pantai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Stesen Uniform TLDM di sekitar perairan stesen berkenaan, semalam.
Markas Pemerintahan Armada Timur dalam kenyataan hari ini berkata, hasil siasatan awal mendapati bot pancing yang dinaiki mangsa terpisah daripada bot induknya pada 30 Mac lalu.

Katanya, dia yang berasal daripada Pulau Gaya, di sini, memaklumkan kapal induknya telah menurunkan enam bot pada Khamis lalu bagi tujuan memancing.
Namun katanya, bot pancing yang dikemudi mangsa telah terpisah jauh dan kehabisan minyak.
“Akibat kejadian itu menyebabkan mangsa hanya mampu berapung selama dua hari sebelum dihanyutkan ke stesen berkenaan.
“Mangsa yang dalam keadaan stabil telah diberikan kemudahan pakaian dan bantuan makanan,” katanya.

Menurutnya, mangsa akan dihantar pulang ke Kota Kinabalu dalam masa terdekat.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Ketua Kampung Pulau Gaya turut dimaklumkan berkenaan maklumat ini bagi tujuan pengesahan dan tindakan selanjutnya. – Info X