Search

Wanita terseliuh di KM 8.5 Gunung Kinabalu diselamatkan

April 2, 2023

admin

KUNDASANG: Seorang pendaki gunung Kinabalu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami terseliuh kaki kanan di Kilometer (KM) 8.5 Gunung Kinabalu, hari ini.

Pendaki wanita berusia 52 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8 pagi.

Katanya, susulan laporan itu sepasukan tujuh anggota MOSAR, Malim Gunung dan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat terus memberikan rawatan awal dengan membalut kaki mangsa menggunakan bandage.

“Mangsa seterusnya di bawah turun ke Timpohon Gate menggunakan Robertson Strecher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Ranau menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 2.08 petang,” katanya. – Info X