Search

PPM kekang penyelewengan petrol, langgar syarat lesen perikanan

April 3, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah berjaya mengekang aktiviti penyelewangan bahan api bersubsidi dan aktiviti perikanan yang menyalahi syarat lesen menerusi Op Taring Gelora di perairan Sandakan dan Semporna, semalam.

Operasi bermula 6 pagi hingga 2 petang itu, dua kes tangkapan mengikut Akta Perikanan 1985 dan dua kes tangkapan Akta Kawalan Bekalan 1961 berjaya dihasilkan.

Menurut sumber, menerusi operasi berkenaan, empat lelaki warga asing berusia 20 hingga 45 tahun ditahan di perairan Pamaguan, Sandakan kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari tiga batu nautika dari garis pantai.

Polis marin menjalankan pemeriksaan ke atas bot yang ditahan kerana melanggar syarat lesen perikanan di Sandakan. – Foto PPM

“Sebanyak 308 kilogram pelbagai makanan laut dirampas dengan nilai RM2,980 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dua bot dengan muatan petrol dirampas masing-masing di perairan Kuala Batu Putih, Sandakan dan perairan Bohey Dulang, Semporna,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, sebanyak 400 liter petrol dan jumlah keseluruhan nilai rampasan bot dan petrol dianggarkan berjumlah hampir RM25,000.

Bot membawa muatan minyak petrol ditahan selepas disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran. – Foto PPM

“Tiada tangkapan dilakukan dalam kes ini kerana suspek disyaki melarikan diri. Dipercayai minyak petrol itu cuba diseludup ke negara Jiran,” katanya.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan hasil operasi Op Taring Gelora yang dilancarkan itu.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan melalui operasi ini dianggarkan berjumlah kira-kira RM28,000.

“Semua kes telah dirujuk ke Jabatan Perikanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X