Search

Gagasan Rakyat Tambunan hulur bantuan kewangan Kaamatan, komputer riba

April 3, 2023

admin

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Tambunan, hari ini, menyampaikan sumbangan kewangan Kaamatan kepada tujuh mukim merangkumi 118 buah kampung di Tambunan.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh ketua penaja bahagian Gagasan Rakyat DUN Tambunan, Datuk Victor P Paut kepada pengerusi-pengerusi setiap mukim, di pejabatnya, di Kepayan Ridge, di sini.

Selain itu, beliau turut menyumbangkan komputer riba dilengkapi mesin pencetak (printer) untuk kegunaan pejabat JPKK kepada pengerusi JPKK Kampung Lintuhun, di Tambunan.

Victor (kanan) menyampai set computer riba kepada Victor James.

Berucap pada majlis itu, Victor berkata, sumbangan berkenaan bertujuan untuk membantu menjayakan program Kaamatan yang bakal dianjurkan oleh tujuh mukim berkenaan sempena sambutan tahun ini.

“Seperti yang kita sedia maklum penganjuran sesuatu program kebudayaam atau kemasyarakatan memerlukam perbelanjaan yang agak tinggi.

“Sehubungan itu, diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kekangan yang dihadapi mereka,” katanya.

Victor (kanan) menyampaikan sumbangan kaamatan kepada pengerusi kaamatan mukim Kirokot, Iqbal.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Victor berkata, sumbangan berkenaan merupakan komitmennya untuk membantu dan memastikan sesuatu program kebudayaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Ia selari dengan perjuangan dan hala tuju kerajaan hari ini yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam membela rakyat,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Kaamatan di tujuh mukim peringkat daerah Tambunan iaitu Larry Robert Okou (pengerusi Mukim Lintuhun), Stepenie Lazarus (Nambayan), Cyril Stephen (Toboh), Boniface G Mool (Patau), Jaikoh Gabi (Sunsuron), Angeline Edwin (Monsorulung) dan Iqbal (Kirokot) serta Victor James Ampang (mewakili pengerusi JPKK Kampung Lintihun).

Kesemua mereka melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Victor atas sumbangan berkenaan. – Info X