Search

Kastam Sabah rampas bir lebih RM1 juta

April 4, 2023

admin

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan kegiatan penyeludupan minuman keras dengan merampas tiga kontena berisi bahan itu yang dianggarkan bernilai RM1,040,300 termasuk cukai.

Rampasan pada Jumaat lalu itu dijalankan sepasukan anggota daripada Cawangan Siasatan Khas dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar serta Unit Operasi Penguatkuasaan Koya Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, tiga kontena yang berisi minuman keras ini disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.

Mohd Nasir Deraman menunjukkan minuman keras yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Katanya, bertindak berdasarkan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas, pasukan serbuan membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar, jam 10.30 pagi, pada 31 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam menemui sejumlah 23,868 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai harga RM85,760 dan anggaran nilai duti serta cukai RM348,290.

“Selang 15 minit kemudian, hari yang sama, bertindak berdasarkan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar, pasukan serbuan menahan sebuah lagi kontena juga disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam menemui 22,176 liter minuman keras jenis bir pelbagai jenama dengan nilai RM84,040 dan nilai duti serta cukai RM343,816.

Minuman keras yang cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Selepas itu, pada 11 pagi hari yang sama, sebuah lagi kontena ditahan oleh pasukan serbuan hasil penilaian risiko dan imej imbasan mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar.

“Pasukan serbuan menemui sejumlah 23,868 liter minuman keras jenis bir pelbagai jenama dengan nilai RM85,769 dan anggaran nilai duti serta cukai berjumlah RM348,290. Jumlah keseluruhan rampasan minuman keras termasuk cukai dianggarkan RM1,040,300,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi bagi ketiga-tiga kes ini adalah membuat pengikraran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Antara barang-barang yang diikrar adalah seperti printer, insulate wire, wooden furniture, dining table, sewing machine computer accessories, poultry feeding equipment dan fibre cement furniture bagi tujuan penyeludupan dan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – Info X