KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman berkata, keputusan kerajaan persekutuan untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ yang mengorbankan nyawa lima Menteri Kabinet Sabah 47 tahun lalu merupakan satu langkah tepat.
Katanya, perkara berkenaan adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan ramai rakyat Sabah selepas menunggu sekian lama laporan mengenai nahas udara itu.
“Ini sekali gus akan menamatkan segala persoalan serta spekulasi mengenai kemalangan yang menyebabkan kematian 11 orang termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.
“Tragedi itu masih terpahat dalam ingatan ramai rakyat Sabah yang sejak itu tertanya-tanya mengenai punca kejadian kemalangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azis berkata, persoalan dan spekulasi biasanya timbul setiap tahun apabila upacara memperingati mereka yang terkorban diadakan di tapak kejadian di Sembulan.
“Warisan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ dan sekaligus mengatasi kebimbangan rakyat Sabah,” katanya.
Terdahulu, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan persekutuan kepada umum mengenai nahas pesawat 1976 terbabit.
Katanya, kerajaan memahami keresahan ahli keluarga mangsa terbabit dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun yang mahu mengetahui tragedi mengakibatkan pemimpin utama negeri itu terkorban.
Beliau, keputusan kerajaan menghebahkan atau dinyahklasifikasi laporan tersebut sebagai tanda keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan. – Info X