Search

Kerajaan pastikan catuan bekalan air berjalan baik menjelang Aidilfitri

April 7, 2023

admin

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (JKR) melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan memastikan catuan bekalan air di negeri ini berjalan dengan baik menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ini termasuk membekalkan air bersih dengan menyediakan lori tangki ke kawasan yang terjejas sekiranya perlu.

“Saya telah berpesan kepada JANS untuk memastikan catuan bekalan air dapat dijalankan dengan baik dan sekiranya ada kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air rendah mereka boleh memaklumkan JANS melalui talian careline untuk tindakan yang sewajarnya.

“Sama ada kita hantar lori air atau sebagainya bagi memastikan catuan air berjalan dengan baik menjelang perayaan Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Iftar Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.

Shahelmey memberi sumbangan kepada salah seorang penerima dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah pada Majlis Iftar Ramadan di SICC, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Menteri JKR Sabah berkata, ketika ini JANS sedang giat mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di negeri ini yang mencecah 60 peratus melalui Program Pengurangan Air Tidak Berhasil.

Katanya, langkah itu termasuk mengesan kawasan yang mengalami tekanan air rendah sebelum tindakan diambil bagi memulihkan masalah berkenaan.

“Dengan adanya program dalam mengurangkan NRW itu, kita akan dapat mengesan kawasan-kawasan yang sedang mengalami tekanan air. Jadi dengan adanya sistem ini, pegawai-pegawai jabatan air akan dapat melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya bagi memulihkan tekanan air.

“Sekiranya ini dapat kita jayakan menjelang hujung tahun ini, bekalan air yang sepatutnya akan dapat dinikmati oleh pengguna di luar sana,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai kes kecurian air, Shahelmey berkata, kementeriannya melalui jawatankuasa khas sedang mempertimbangkan mekanisme baharu termasuk memasang meter pengesan bagi menyelesaikan isu kecurian air.

“Bagi kes kecurian air pula, satu perkara yang sedikit berbeza, yang kita perlukan adalah penguatkuasaan dan mungkin satu mekanisme sama ada kita lakukan meter pengesan ataupun sebagainya.

“Ini sedang difikirkan oleh jawatankuasa khas berkenaan,” katanya. – Info X