TAWAU: Cubaan seorang lelaki melarikan telefon bimbit yang dicuri di Jalan Tawau Lama, di sini, pagi tadi gagal apabila ditahan anggota polis yang berada berdekatan lokasi kejadian.
Suspek warga asing berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) pada 9.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika anggota polis menjalankan tugas Op Poket di SJR ternampak seorang lelaki berlari dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, lelaki itu berlari menghala ke arah sekatan jalan raya yang didirikan anggota JSPT di Jalan Tawau Lama.
“Anggota yang bertugas bertindak mengejar suspek dan ketika ditahan berlaku sedikit bergelut namun suspek berjaya diberkas.
“Ketika itu, seorang lelaki (mangsa) datang ke kawasan sekatan jalan raya dan memberitahu telefon bimbit miliknya dilarikan oleh suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa dalam poket belakang seluar yang dipakai suspek.
“Suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Kesekaan atas kesalahan mencuri.
“Saya juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada walaupun dalam apa juga keadaan bagi mengelak menjadi mangsa jenayah termasuk samun, ragut, kecurian dan banyak lagi,” katanya. – info X