Search

Suhu negatif di puncak Gunung Kinabalu, pembentukan ais berlaku

April 8, 2023

admin

KOTA KINABALU: Kawasan puncak Gunung Kinabalu dilaporkan mencatat suhu di bawah paras beku iaitu suhu antara negatif tiga hingga negatif lima darjah Celsius sehingga menyebabkan pembetukan ketulan air di kawasan sekitarnya.

Taman-Taman Sabah menerusi Facebook mereka berkata, suhu berkenaan direkodkan antara 2.30 pagi hingga 7 pagi, menyebabkan air di permukaan batu atau kayu membeku dan membentuk kepingan, isikel atau hablur ais bermula dari kawasan Sub Stesen Panalaban, Taman Kinabalu sehingga ke puncak.

“Permukaan batuan granit licin disebabkan pembekuan ais. Semoga pendaki sentiasa berhati-hati sepanjang melakukan aktiviti pendakian dan turun.

“Setakat ini aktiviti pendakian adalah lancar dan terkawal. Tiada kes kecemasan atau kemalangan yang dilaporkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, acute mountain sickness (AMS) juga mudah berlaku dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Facebook Sabah Parks turut menyertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan pembentukan ais di sekitar kawasan puncak Gunung Kinabalu, semalam.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna Facebook termasuk turut berkongsi keadaan lebih sejuk yang dirasai di sekitar kaki gunung ketika ini.

“Di bawahpun sudah sejuk, apatah lagi di atas sana,” kata seorang pengguna Facebook.

Tidak kurang juga yang menyuarakan agar pendaki dan malim gunung berhati-hati mendaki ketika cuaca yang sangat sejuk di puncak gunung.

Pembentukan ais di kawasan puncak Kinabalu bukan perkara baharu, malah kejadian itu sering dilaporkan berlaku hampir setiap tahun terutama ketika musim kemarau, khususnya pada awal tahun.

Februari lalu, beberapa pendaki di gunung setinggi 4,095 meter itu turut berkongsi penemuan kepingan ais di kawasan puncak gunung berkenaan berikutan suhu mencapai tahap beku. – Info X