Search

Tiga projek ‘sakit’ bawah KKM di Sabah

April 8, 2023

admin

PAPAR: Menteri Kesihatan, DR Zaliha Mustafa berkata, sebanyak tiga projek di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah dikategorikan sebagai projek sakit pada tahun ini.

Katanya, angka berkenaan merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 12 buah projek sakit di bawah KKM di seluruh negara.

Beliau berkata, penyediaan pekerja dan bahan merupakan antara faktor yang mempengaruhi kelewatan projek hingga dikategorikan sakit selain faktor pandemik Covid-19.

“Kita tahu kita berdepan dengan Covid-19 baru-baru ini, tiga tahun projek ini tidak dapat berjalan, tetapi ada faktor-faktor lain yang telah dikenal pasti, mungkin dari sudut penyediaan pekerja oleh kontraktor dan mungkin ada sedikit berkaitan bahan.

“Jadi itu semua memberikan faktor yang menyebabkan projek ini lewat dan kita kategorikan sebagai projek sakit”, katanya ketika ditemui media sewaktu melakukan lawatan kerja di tapak naik taraf Hospital Papar, hari ini.

Untuk rekod, tiga projek dikategorikan sebagai projek sakit di bawah KKM, di Sabah, ialah Hospital Papar (kurang 11.72 peratus, lewat 89 hari), Hospital Beaufort (kurang 45.97 peratus, lewat 553 hari) , dan KK5 Sikuati, Kudat (lewat 37.12 peratus, lewat 271 hari.

Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata, KKM sentiasa mengambil perhatian terhadap jumlah staf yang diperlukan bagi setiap hospital.

Malah, katanya, unjuran juga turut dibuat untuk mengenal pasti jumlah staf diperlukan terutamanya bagi hospital baharu.

“Apabila kita merancang untuk bina hospital, kita ada unjuran berapa staf kita perlukan untuk sesebuah hospital.

“Jadi semua itu akan dirancang dan diambil perhatian dan akan disediakan mengikut apa yang kita perlu”, katanya. – Info X