Search

RM63.75 juta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri untuk pekebun kecil

April 8, 2023

admin

PAPAR: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah RM63.75 juta akan disalurkan kepada 318,642 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan berkenaan akan mula dikreditkan ke akaun pekebun sejurus selepas pengumuman itu dibuat.

Katanya, BKKA yang disalurkan itu merupakan salah satu daripada inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023 yang turut membabitkan seramai 850,000 orang pekebun kecil getah, pesawah, dan nelayan secara keseluruhan.

“RISDA akan mengagihkan wang Hari Raya sebanyak RM63.75 juta ringgit untuk diagihkan kepada seramai 318,642 pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Oleh kerana perdana menteri telah mengumumkan bahawa seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah, dan nelayan akan diberikan pemberian, maka KKDW melalui RISDA akan memberikan, mulai saat saya mengumumkan ini terus dikreditkan di akaun pekebun kecil berkenaan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Kampung Benoni, di sini, hari ini.

Sebanyak RM200 RINGGIT akan dikreditkan ke akaun pekebun kecil getah yang juga merupakan penerima bantuan musim tengkujuh (BMT) pada tahun 2022.

BKKA disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar.

Semua pemohon bantuan BKKA disarankan agar melayari laman sesawang http://bmt.risda.gov.my bagi menyemak status bayaran. – Info X