PAPAR: Pengerusi Barisan (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan yang dipegang oleh ahli ataupun pimpinan BN Sabah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahu pun kerajaan tempatan perlu terus dikekalkan.
Katanya, ia seiring dengan pendirian BN untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai ketua menteri sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Beliau berkata, isu remeh di antara Sabah dan Semenanjung tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menukarkan pimpinan ataupun ahli BN yang sedang memegang jawatan-jawatan berkenaan.
“Itulah azam kami dan itulah yang telah ditandatangani di antara kami dengan mereka (GRS) dan ini harus dikekalkan.
“Tetapi pada waktu yang sama kita juga berharap agar jawatan-jawatan sama ada dalam GLC atau dalam kerajaan tempatan atau ketua kampung hendaklah terus dikekalkan seperti mana yang telah dipersetujui.
“Kita tidak mahu adanya penukaran disebabkan oleh perkara-perkara yang menjadi titik bengik di antara Semenanjung dan juga di Sabah ini”, katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Benoni, Papar, hari ini.
Sementara itu, Zahid berkata, BN telah mengambil beberapa langkah penyelesaian melibatkan hubungan di antara parti itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kerajaan Sabah terus kekal dan stabil.
Beliau juga mengingatkan pimpinan BN Sabah agar tidak mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengeruhkan hubungan BN dengan mana-mana pihak.
“Saya telah memberitahu rakan-rakan saya daripada Umno dan BN Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perasaan atau mengguris hati mana-mana pihak.
“Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan dan kita mencari kaedah-kaedah yang terbaik supaya kerajaan yang ada di Sabah ini terus dikekalkan sehingga PRN akan datang”, katanya.
BN pusat sebelum ini menamakan bekas timbalan pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan sebagai wakil bagi proses rundingan di antara BN Sabah dan kerajaan negeri yang dipimpin Hajiji.
Keputusan itu diambil selepas kemelut politik yang berlaku di Sabah pada 6 Januari apabila BN Sabah menarik sokongan daripada kerajaan yang dipimpin Hajiji. – Info X