KOTA KINABALU: Mendapan tanah yang menyebabkan keretakan bangunan serta pagar di Klinik Kesihatan Luyang antara isu yang perlu diambil perhatian dan tindakan lanjut oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, isu lain yang perlu diberi perhatian serius ialah terdapat eretakan ‘apron’, keretakan dan kebocoran ‘flat roof’, siling yang rosak disebabkan titisan air dari ‘flat roof’ serta isu pendawaian elektrik.
Dalam satu kenyataan oleh KKM hari ini berkata, Klinik Kesihatan Luyang merupakan Klinik Kesihatan pertama di Sabah yang mengamalkan konsep ‘one-stop centre’ dan anggaran pesakit yang diterima setiap hari adalah seramai 800 orang.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan sempena lawatan kerja rasmi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ke Klinik Kesihatan Luyang, Klinik Kesihatan Kinarut, Hospital Papar dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (Likas).
Dr Zaliha memulakan lawatan kerja beliau dengan melawat Klinik Kesihatan Luyang untuk meninjau kawasan operasi dan keadaan fasiliti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitar.
Antara perkhidmatan yang disediakan di KK Luyang adalah Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu dan Anak, Klinik Dada (TB & Kusta), Klinik Berhenti Merokok, Pemeriksaan Perubatan, Klinik Virtual, Klinik STI (Sexual Transmitted Infection), Perkhidmatan Sokongan (Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja, Diatetik, Pemakanan Sosial Perubatan, X-Ray, dan lain-lain lagi), Saringan Kesihatan dan Perkhidmatan di Komuniti.
Seterusnya, Zaliha telah melawat Klinik Kesihatan Kinarut yang telah beroperasi sejak tahun 1979. Klinik Kesihatan Kinarut telah dinaik taraf pada tahun 2005, di mana sebuah bangunan baru dibina untuk menempatkan Unit Kesihatan Ibu dan Anak, manakala Unit Pesakit Luar, Unit Makmal dan Unit Farmasi telah dibina pada tahun-tahun yang seterusnya.
Jumlah penduduk Kinarut dianggarkan sebanyak 51,200 orang dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 3.3 peratus.
Beliau kemudianya meneruskan lawatan ke Hospital Papar yang terletak 50 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. – Info X