KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah memerlukan agihan peruntukan pembangunan yang saksama dan lebih besar berbanding negeri-negeri lain, termasuk untuk pembinaan baharu dan
menaik taraf infrastruktur serta fasiliti kesihatan sedia ada.
Katanya, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah hospital dan klinik kesihatan terbanyak di negara ini dengan kebanyakannya dalam keadaan usang serta daif.
“Justeru, Sabah amat memerlukan agihan peruntukan pembangunan yang saksama dan lebih besar berbanding negeri-negeri lain, termasuk untuk pembinaan baharu dan menaik taraf infrastruktur dan fasiliti kesihatan sedia ada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, dekat sini, hari ini.

Hajiji diberi taklimat program dan projek pembangunan kesihatan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah.
Beliau turut meminta menteri kesihatan supaya memberi keutamaan kepada Sabah dari segi agihan peruntukan pembangunan dan menaiktaraf fasiliti kesihatan di Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Rose Nani Mudin. – Info X