Search

Umno Sabah lawan GRS PRN nanti?

April 9, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin membayangkan parti itu akan menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi.

Katanya, Umno Sabah kini bertekad bukan saja untuk kembali mentadbir negeri ini malah mahu menjadi parti teras dalam pembentukan kerajaan nanti.

Beliau berkata, Umno Sabah juga akan mempertimbangkan parti yang mereka akan bekerjasama pada PRN nanti termasuklah Warisan.

“Kami akan adakan mesyuarat biro politik untuk kita kaji siapa rakan kita pada PRN nanti, yang boleh membawa impak
…(Warisan?) kita akan tengok nanti.

“Saya cukup yakin, barisan kepimpinan Umno Sabah bagi 2023-2026 cukup mantap, yang menang dan kalah sama-sama berada dalam kepimpinan, saya yakin Umno akan kembali jadi pemerintah di bumi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah, di Bangunan Umno, di sini, hari ini.

Bung (tiga dari kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Umno Sabah yang baharu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan barisan kepemimpinan Umno negeri bagi sesi 2023-2026 yang baru dilantik.

Sementara itu, Bung Moktar yakin kombinasi kepemimpinan baharu Umno Sabah termasuk di antara beliau dan Abdul Rahman akan menjadi pemangkin ke arah pengukuhan parti itu bagi menjadikan Umno kembali menjadi parti teras memerintah kerajaan negeri.

Katanya, pengalaman beliau dan Abdul Rahman yang luas di peringkat negeri dan nasional adalah gabungan yang saling melengkapi untuk kebaikan Umno Sabah.

“Kita akan guna pakai kepakaran masing-masing untuk mengukuhkan Umno Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata beliau tidak menghadapi masalah dengan kepemimpinan Umno Sabah demi untuk menguatkan semula parti berkenaan.

“Saya secara peribadi tiada masalah dengan kepemimpinan yang ada. Jika kita mahu maju, kita perlukan kekuatan. Bung Moktar sudah lama dalam Parlimen dan sekarang Umno Sabah.

“Tiada masalah antara kami semua. Kami mahu mencurahkan kepada parti dengan satu harapan untuk menjadikan Umno Sabah sebagai teras kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar mengumumkan barisan kepemimpinan baharu Umno Sabah yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari ini.

Selain beliau dan Abdul Rahman, antara pemimpin yang dilantik dalam barisan baharu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Bendahari; ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin (Setiausaha Perhubungan) dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir (Ketua Penerangan). – Info X