Search

Padah ‘uji kelajuan’ kereta atas jalan, 2 lelaki ditahan

April 10, 2023

admin

KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan dipercayai berlumba di Jalan Tun Fuad Stephen, depan sebuah hotel, di sini, kelmarin.

Mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

JSPT IPK Sabah menerusi Facebook mereka berkata, operasi kira-kira jam 10 malam itu diketuai Pegawai Turus (PT), Asisten Superintendan Andi Baso Andi Mappengerang bersama seorang pegawai dan sembilan anggota di sekitar bandar raya berkenaan.

Antara motosikal yang disita dalam Operasi Samseng Jalanan di Kota Kinabalu. – Foto PDRM

Katanya, hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh pasukan risikan melihat dua kereta jenis Proton Arena dipandu dengan laju dan bersaing sesama sendiri bertujuan untuk menduga kelajuan.

“Aksi itu dilakukan sebanyak dua kali pusingan oleh kedua-dua pemandu bermula dari lampu isyarat Warisan Square menuju ke Bulatan Millennium di Jalan Tun Fuad Stephens depan sebuah hotel.

“Kedua-dua kereta bersama pemandu lelaki kemudiannya ditahan di Lorong Api-Api. Pemandu bersama kereta dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, katanya dalam operasi sama juga, sebanyak 23 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan tiga motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung dan mencegah aktiviti samseng jalanan ini daripada berleluasa dan aktif di Kontinjen Sabah.

“Tindakan JSPT ini juga secara tidak langsung akan memastikan pengguna jalan raya akan merasa selamat memandu tanpa sebarang aktiviti merbahaya yang menyalahi undang-undang berlaku di atas jalan raya,” katanya. – Info X