TAWAU: Seorang anggota polis yang sebelum ini dijadikan saksi berhubung kes bunuh membabitkan seorang pemandu e-hailing di Tawau pada Januari lalu, hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan bunuh bagi kes sama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada John Kennedy Sanggah, 44, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus yang kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 7 Julai ini.
Berdasarkan pertuduhan John Kennedy bersama enam individu yang telah dituduh mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau pada 13 Januari lalu.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pada 8 Februari lalu, John Kennedy bersama seorang lagi anggota polis Usman Lanaga serta seorang awam Shim Vui Nyen diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan, manakala lima anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Dennis Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan orang awam Vivien Fabian, 34, dituduh di Mahkamah Majistret Tawau dengan niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61,
Pada 8 Feb itu, seorang pegawai kanan polis iaitu Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, turut didakwa bersubahat dengan enam individu berkenaan untuk membunuh lelaki tersebut.
Sementara itu, di mahkamah yang sama Dzul Elmy turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap Mat Zaki bagi pertuduhan bersubahat dibawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Di mahkamah berasingan, Majistret Leona Dominic Mojiliu turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Rosdi, Dennis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien bagi pertuduhan membunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pihak Pendakwaan pada hari ini dibarisi Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhamad Iskandar Ahmad, DPP Muhammad Ilmami Ahmad, DPP Low Win Hui dan DPP Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim manakala semua tertuduh diwakili peguam. – Info X