Search

Padah baling batu, kayu ke arah rumah dan kereta mangsa

April 11, 2023

admin

PAPAR: Polis menahan dua lelaki selepas dipercayai membaling batu dan kayu hingga merosakkan kereta serta rumah seorang penduduk di Kampung Ulu Kimanis, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 28 dan 36 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan anggota Balai Polis Kinarut, kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati enam menaiki dua kereta jenis Perodua Kancil datangi ke rumah mangsa di kampung berkenaan jam 11 malam, pada 8 April lalu.

Katanya, semua suspek dalam keadaan mabuk bertindak membaling kereta dan rumah mangsa dengan batu dan kayu hingga menyebabkan kerosakan.

“Salah seorang suspek turut mengugut isteri mangsa dan seorang daripada suspek dikenali oleh mangsa.

“Susulan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat, dua daripada enam suspek terbabit berjaya ditahan di Kampung Ulu Kimanis.

“Polis turut merampas barang kes senjata seperti kayu dan batu-bata yang digunakan ketika kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati motif kejadian dipercayai perselisihan faham berkenaan urusan jual beli bahan binaan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua tangkapan direman untuk siasatan lanjut termasuk mengesan lagi individu yang terbabit dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang awam dinasihatkan supaya menyampaikan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan segera di talian 088-912222.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada balai polis terdekat sekiranya berlaku kejadian tidak diingin berlaku dan mengugat keselamatan diri serta harta,” katanya. – Info X