Search

Tidak benar Umno Sabah kembali sokong kerajaan GRS – Bung

April 11, 2023

admin

KINABATANGAN: Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin menafikan parti itu kembali menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti mana yang dilaporkan sebuah stesen TV swasta.

Katanya, tiada sebab mengapa parti itu perlu kembali menyokong kerajaan GRS kerana beliau mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sehingga kini masih melakukan pemecatan penjawat jawatan awam lantikan politik dari Umno secara berterusan.

“Saya tidak dapat komen siapa yang Ketua Menteri lantik dan pecat dari Umno dalam kebinet atau pejawat awam lantikan politik kerana itu adalah hak beliau sebagai ketua menteri.

“Bagaimana pun tindakan ini sebenarnya tidaklah melambangkan konsep Kerajaan Perpaduan yang sebenarnya, justeru bagaimana kita boleh menzahirkan sokongan jika begini keadaannya?

“Inilah persoalan yang timbul sekarang bagaimana kita boleh melastarikan konsep kerajaan Perpaduan di Sabah…kita suka lantik, tidak suka pecat dan suasana ini tidak akan mewujudkan kestabilan politik khususnya di Sabah dan bagi Umno kita tenang sahaja, tidak perlu seperti peribahasa ‘hidung tak mancung pipi pula yang tersurung-surung’,” katanya.

Bung menafikan Umno Sabah kembali sokong kerajaan GRS seperti dilaporkan sebuah stesen TV swasta.

Bung berkata, apa yang beliau perjelaskan kepada media terdapat kekeliruan orang ramai khususnya ahli parti apabila pemimpin Umno yang masih berada dalam kerajaan GRS sekarang tidak dapat membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD)

“Pemimpin yang dipecat oleh Umno kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangi akuan bersumpah (SD) dan telah pun mengishtiharkan mereka keluar dari Umno,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini yang mengeluarkan kenyataan BN memberikan sokongan kepada kerajaan GRS adalah dengan mengambil kira ketetapan di peringkat persekutuan yang membentuk kerajaan perpaduan.

“Perbincangan telah dilakukan oleh Sekteriarat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menyelaras semua parti yang mengasasakanya dan di Sabah kita diwakili oleh Timbalan Ketua Umno Sabah sebelum, Datuk Yakub Khan, bagaimanapun sehingga ke hari ini, tidak ada resolusi yang dicapai malah pemecatan penjawat jawatan awam lantikan politik dari Umno terus dilakukan, apakah ini di maksudkan kerajaan perpaduan,” soal Bung lagi. – Info X