Search

Datang ke Sabah, beri penjelasan berhubung laporan tragedi ‘Double Six’ – Warisan

April 12, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman berkata, kerajaan persekutuan menerusi agensi berkaitan perlu datang ke Sabah untuk memberi penerangan kepada rakyat negeri ini, khususnya keluarga mangsa nahas pesawat dalam tragedi ‘Double Six’ berhubung laporan penuh siasatan nahas itu.

Katanya, perkara itu perlu memandangkan laporan mengenai nahas yang mengorbankan 11 orang termasuk Ketua Menteri, Tun Fuad Stephen pada 6 Jun 1976 itu sudah terlalu lama tersimpan.

“Bayangkan sejak 1976 punca di sebalik nahas itu disimpan dan dirahsiakan daripada mereka (keluarga mangsa).

“Selepas dinyahklasifikasi, punca di sebalik kejadian itu adalah kesilapan juruterbang selain pesawat dikatakan tidak dikendalikan secara profesional dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sekali lagi, jika ia adalah kesilapan juruterbang, kenapa kerajaan perlu mengklasifikasikannya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)? Kesilapan juruterbang tetap kesilapan juruterbang, kemalangan berlaku tetapi kenapa merahsiakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Azis turut menasihatkan keluarga mangsa untuk menimbang kemungkinan menyaman kerajaan berikutan kelalaian apabila membenarkan juruterbang tidak sesuai mengendalikan pesawat terbabit dan tidak mematuhi SOP mengenai bagaimana sepatutnya kapal terbang itu dikendalikan.

“Namun, ini cuma pandangan peribadi saya dan kita perlu menghormati keluarga mangsa yang terkorban dan apa saja keputusan yang mereka akan ambil.

“Kita perlu hormat tetapi kita perlu juga perlu ingat bahawa semua yang meninggal itu adalah pemimpin kepada semua rakyat Sabah yang saya fikir sebagai rakyat negeri ini, kita mempunyai hak untuk mengambil tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya. – Info X