PENAMPANG: Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau akan menyampaikan permintaan keluarga mangsa nahas ‘Double Six’ pada 1976 ke perhatian kabinet persekutuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, ia termasuk untuk mendapatkan laporan siasatan daripada Australia berhubung nahas yang mengorbankan 11 nyawa termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Allahyarham Tun Fuad Stephen.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perkara itu akan dibawa selepas beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali selesai menemui semua ahli keluarga mangsa nahas berkenaan.
Menurutnya lagi, beliau dan Armizan diamanahkan mewakili kerajaan persekutuan untuk bertemu dan menyampaikan salinan laporan penuh serta ucapan simpati kepada semua ahli keluarga mangsa Double Six.
“Saya akan beritahu Kabinet selepas berjumpa dengan sebahagian ahli keluarga yang terbabit.
“Saya akan bawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Kabinet jika ada perkara dinyatakan kepada kami seperti keperluan laporan Australia didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan salinan laporan penuh nahas Double Six kepada balu mendiang Datuk Peter Mojuntin, Datin Nancy Mojuntin, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga anak bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu, Datuk Donald Mojuntin.
Peter adalah antara 11 pemimpin Sabah yang terkorban bersama Ketua Menteri, Tun Fuad Stephen dalam nahas udara di Sembulan, Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata beliau juga akan menyampaikan cadangan keluarga mangsa kepada kerajaan termasuk untuk mengadakan siasatan lanjut berhubung persoalan yang timbul selepas pendedahan laporan siasatan nahas berkenaan.
“Saya juga ada menyebut pada mesyuarat Kabinet semalam mengenai harapan Donald agar buku mengenai ayahnya, The Golden Son Of The Kadazan yang sebelum ini diharamkan penerbitannya agar dapat ditarik balik pengharamannya,” katanya.
Mengenai persoalan ditimbulkan keluarga mangsa selepas pendedahan laporan itu, Ewon mengakui tidak semua persoalan mengenai tragedi itu dapat dirungkai melalui laporan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan semalam itu.
Bagaimanapun, katanya apa yang lebih penting laporan yang tersimpan selama 47 tahun itu dapat didedahkan untuk pengetahuan umum, khususnya ahli keluarga mangsa dan rakyat seluruh negara.
“Ada rakyat Sabah beranggapan berlainan tetapi laporan ini juga sudah menjawab beberapa persoalan mengenai apa yang berlaku.
“Apa yang penting saya dapat meyakinkan Kabinet untuk mendedahkan laporan ini. Saya sudah menjalankan tanggungjawab saya hingga berjaya mendapatkan persetujuan Kabinet.
“Mudah-mudahan laporan ini dapat memberi jawapan.Soal kenapa ia tidak didedahkan selama ini, itu di luar bidang kuasa saya dan saya tidak mahu menjawab bagi pihak kerajaan yang lalu,” katanya.
Ewon berkata, beliau dan Armizan berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam meyakinkan Kabinet untuk menyahklasifikasikan laporan akhir nahas berkenaan.
“Saya dan Armizan juga berbincang dengan Peguam Negara meminta supaya rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan mendedahkan laporan itu ditarik balik.
“Sekarang, laporan ini sudah menjadi pengetahuan umum,” katanya. – Info X