Search

Kerajaan akan rombak agensi, GLC yang tidak berprestasi – Hajiji

April 14, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk merombak mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak berprestasi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menilai semula prestasi jentera kerajaan di semua peringkat supaya prestasi berada pada tahap optimum.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk merombak mana-mana agensi atau GLC yang tidak berprestasi.

“Malah, kami sedang dalam proses untuk melihat beberapa entiti ini untuk penstrukturan semula, ini adalah perlu bagi mengelakkan sebarang ketirisan,” katanya ketika berucap sempena majlis berbuka puasa bersama media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan menghargai jasa baik pihak media dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan di negeri ini.

“Malah, ketika berlakunya pergolakan politik di Sabah baru-baru ini, media menjadi antara sumber utama rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Di sinilah saya melihat media telah memainkan peranan mereka untuk memberi laporan-lqporan terkini situasi yang berlaku ketika itu, pada setiap masa.

“Media turut membantu menyampaikan maklumat daripada kerajaan dan saya melihat  bagaimana media bertungkus lumus mendapatkan laporan yang terkini untuk disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Hajiji meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimhulkan rasa bimbang.

Katanya, pihak media sentiasa memberi laporan dan membuat analisis berkenaan berita-berita yang penting yang mereka fikir perlu diketahui oleh rakyat atau umum.

“Kerajaan negeri sedar media memainkan peranan penting dalam membangunkan negeri, dan laporan media juga kadangkala membantu kerajaan mengetahui apa yang berlaku di akar umbi dan rintihan rakyat.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan laporan dan liputan daripada media, ia merupakan situasi bertolak ansur, kerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya. – Info X