Search

Maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

April 17, 2023

admin

PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar lori yang membuat pusingan U di laluan Pan Borneo, Kilometer 15, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun, yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha seorang diri dari Kampung Darat Sabang, Bongawan menghala ke Kota Kinabalu untuk ke tempat kerja di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Keadaan motosikal mangsa yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu. – PDRM

Katanya, ketika mangsa menunggang motosikalnya di lorong kiri dan tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah lori jenis Nissan Dumper membuat pusingan U dan memasuki lorong kiri secara melintang.

“Lori dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun dipercayai dari kilang pasir Kampung Mangis itu cuba menghala ke Penampang dengan muatan pasir.

“Disebabkan jarak lori itu terlalu dekat, mangsa penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kiri lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berikutan pelanggaran itu, Kamaruddin berkata mangsa penunggang motosikal parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu Pegawai Perubatan Hospital Papar.

Lori dipercayai dari kilang pasir Kampung Mangis itu cuba menghala ke Penampang dengan muatan pasir. – PDRM

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X