KOTA KINABALU: Selain bertekad mahu mengekalkan rekod bersih di Stadium Likas, Sabah FC juga mahu memperbaiki prestasi mereka di gelanggang lawan, kata pengendalinya Datuk Ong Kim Swee.
Katanya, walaupun baru dua kali kalah selain seri sekali di tempat lawan, ia memberi pengajaran kepada pasukannya untuk lebih berhati-hati selepas ini.
Beliau berkata, selepas kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, Sang Badak bangkit semula mempertahankan kubunya di Stadium Likas bermula dengan saingan Piala FA pada Sabtu lalu.
“Bagi saya masih lagi terlalu awal, kalau kita tengok rekod di tempat lawan kita hanya mampu seri dan kalah dua kali jadi kita harus memperbaikinya.
“Ia adalah satu pengajaran yang amat penting apabila kita tewas dua kali di tempat lawan dan selepas itu seri. Namun, kita dapat kembali ke landasan yang cukup baik.
“Seperti saya katakan, kita ingin mengekalkan rekod 100 peratus kita di Kota Kinabalu (Stadium Likas) dan dalam masa sama kita ingin memperbaiki apa kekurangan di tempat lawan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan FC dan saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Dalam perlawanan berkenaan, Sabah membelasah Kelantan 6 – 1, membolehkan skuad Sang Badak memperbaiki kedudukan dalam carta liga ke tangga keempat selepas naik satu anak tangga.

Kim Swee berkata, kemenangan malam tadi cukup penting kepada Sabah FC dalam mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.
“Apa yang penting kita mendapat tiga mata dan kita mengekalkan rekod tanpa kalah di Likas, yang mana selepas kita berjaya dalam Piala FA, hari ini (malam tadi) pemain menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.
“Mereka menyempurnakan peluang yang sedia ada dan kita harus pastikan momentum ini dikekalkan pada saingan perlawanan akan datang,” katanya.
Beliau turut meletakkan harapan agar Sabah FC mengambil peluang dalam tiga empat perlawanan Liga Super akan datang untuk memperbaiki lagi kedudukan dalam carta liga.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dalam sidang medianya berkata, banyak kelemahan dihadapi pasukan termasuk berkaitan kualiti pemain yang dilihat antara punca prestasi hambar The Red Warrior itu.
“Kualiti pemain masih perlu ditingkatkan lagi. Selain itu corak permainan pasukan lawan (pada musim ini) juga banyak membezakan kita.
“Jadi, kita perlu buat pembaharuan untuk pasukan,” katanya.
– Info X
Gambar – Sabah FC