KOTA KINABALU: Seramai 460 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan digerakkan menerusi Op Selamat 20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bertemakan ‘Rumah selamat, Selamat sampai ke destinasi’ yang bermula esok hingga 27 April 2023 itu membabitkan penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Sabah dengan dibantu cawangan lain.
Katanya, tujuan Ops Selamat 20 adalah untuk melancarkan aliran trafik bagi memudahkan pengguna jalan raya bergerak lancar ke destinasi yang dituju.

“Untuk seluruh Sabah, jumlah pegawai dan anggota yang kita akan gerakan dalam 460 orang membabitkan pelbagai pangkat dan dijangkakan dalam 80 ke 100 pegawai akan memantau penugasan secara keseluruhan.
“Pegawai dan anggota akan bergerak dan mana-mana lokasi yang berlaku masalah kesesakan, di situlah pegawai dan anggota akan membantu,” katanya ketika ditemui media pada Pelancaran Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Jalan Tuaran Bypass, dekat Rampayan, Manggatal, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris dan Ketua JSPT IPK Sabah, Superintendan Rosdi Mat Jusoh.

Jauteh berkata, pihaknya juga mengenal pasti beberapa hotspot yang selalu menjadi masalah kelancaran trafik, dan beberapa laluan yang berpotensi menimbulkan masalah yang mengganggu kelancaran trafik.
“Sebagai contoh, kawasan-kawasan pusingan U… ini juga boleh menyebabkan berlakunya gangguan (trafik) apabila kenderaan yang membuat pusingan itu terlalu panjang menyebabkan lorong laluan akan berkurangan. Keadaan ini akan menyebabkan kesesakan.
“Jadi lokasi-lokasi seumpama inilah pegawai dan anggota trafik akan mempastikan bahawa aliran itu akan berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penduduk yang meninggalkan kediaman masing-masing sempena perayaan Aidilfitri supaya melaporkan kepada balai-balai berdekatan.
“InsyaAllah, disamping memantau kelancaran trafik membuat rondaan di jalan raya, polis daripada cawangan lain juga akan membuat rondaan di kawasan-kawasan perumahan, terutama sekali kawasan ramai penduduk yang membuat pergerakan,” katanya.
Dalam pada itu, Jauteh berkata pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri supaya memastikan keadaan fizikal, mental bersedia untuk melakukan perjalanan yang jauh.
“Jangan memandu dalam keadaan yang mengantuk, memandu laju, dalam keadaan tergopoh gapah dan sebagainya.
“Jadi saya menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya, sentiasa mematuhi etika pemanduan dan pastikan tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh mengganggu aliran atau kelancaran trafik,” katanya. – Info X